Thursday, December 3, 2009

“KEARAH MEWUJUDKAN PERSEPSI POSITIF DI KALANGAN RAKYAT TERHADAP PERJUANGAN PAS DAN PAKATAN RAKYAT”

Assalamu’alaikum

1. Saya gembira dengan ketegasan Tok Guru dan kepimpinan tertinggi PAS terutamanya dalam hal menolak konsep ‘kerajaan perpaduan’. Konsep ini hanya akan menjadi talian hayat kepada UMNO dan menyebabkan UMNO akan terus sesat dan tidak akan berubah kepada perjuangan Islam. Yang ruginya adalah gerakan Islam kerana konsep tersebut akan membantutkan usaha kearah melaksanakan syariat Islam.

2. Dalan tahun awal 80-an dahulu, bertempat di Dewan Zulkifli dalam satu program anjuran Dewan Pemuda PAS Kelantan Tuan Guru menasihati kami (Pemuda PAS ketika itu) bahawa kita wajib sayang kepada orang-orang UMNO, kerana mereka adalah adik-beradik kita, ibubapa kita, datuk-nenek kita, anak-cucu kita, emak saudara dan bapa saudara kita, kerana dalam keluarga kita ada PAS dan ada UMNO. Tegasnya, kita wajib menjaga diri dan keluarga kita daripada api neraka.

3. Tok Guru bertanya, bagaimana cara kita nak tunjukkan sayang kita kepada mereka? Dan Tok Guru sendiri menjelaskannya; UMNO mengamalkan dasar pragmatik, iaitu dasar hanyut mengikut arus. Bila ramai rakyat hendakkan nasionalis maka mereka akan jadi nasionalis. Bila ramai rakyat hendakkan sosialis mereka akan berubah kepada sosialis. Mereka akan berubah mengikut sentimen rakyat untuk menjamin sebahagian besar rakyat mengundi mereka dan mereka akan terus berkuasa di Malaysia.

4. Tok Guru menjelaskan lagi bahawa kita mesti menggunakan peluang pragmatiknya umno ini untuk membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan melaksanakan syariat Islam dengan cara kita melawan UMNO habis-habisan dan serentak dengan itu kita juga mesti menyampaikan seruan dakwah kita kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa syariat Islam adalah syariat yang terbaik dan sempurna kerana ianya ciptaan Allah swt untuk manusia mengamalkanya di dunia ini bagi mencapai kesejahteraan hidup dan keredhaanNYA.

5. Tok Guru kata, usaha dakwah kita hendaklah berterusan sehingga dapat membentuk sentimen dikalangan sebahagian besar rakyat yang inginkan sebuah pemerintahan Islam. Dan ketika itu UMNO akan tertekan. Mereka akan dapat merasakan bahawa mereka akan mengalami kekalahan dalam pilihanraya sekiranya mereka tidak mengubah dasar parti mereka kepada Islam. Insya Allah pada ketika itu mereka akan berubah kepada perjuangan Islam. Walaupun mereka berubah untuk menjamin kesinambungan pemerintahan mereka, namun oleh kerana mereka telah mengubah dasar mereka kepada Islam, maka kita akan bersatu bersama mereka untuk menyokong dan mendokong usaha membentuk sebuah kerajaan Islam yang mengamalkan syariat Islam sepenuhnya.

6. Saya amat yakin apa yang Tok Guru nyatakan itu bukan sekadar tiori semata-mata, tetapi merupakan suatu kaedah yang terbaik dalam sistem demokrasi dan dibenarkan oleh Islam untuk mencapai kemenangan. Perkara inilah yang perlu diperjelaskan kepada ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta seluruh umat Islam di Malaysia bahawa PAS menolak konsep Kerajaan Perpaduan adalah kerana kita tidak mahu bersatu dengan UMNO hanya semata-mata di atas dunia ini sahaja, tetapi kita mempunyai perancangan untuk membawa UMNO ke pangkal jalan kebenaran untuk bersama-sama dengan PAS sehingga ke syurga. Insya Allah. Jika kepimpinan PAS dapat meyakinkan umat Islam akan matlamat perjuangan PAS ini, yakinlah bahawa tempuh masa untuk kita mencapai perpaduan hakiki tersebut Insya Allah semakin hampir.

7. Dalam perkara pemperbetulkan persepsi rakyat terhadap PAS, kita perlu mengkaji dahulu kenapakah mereka berpersepsi sedemikian. Mengikut pemerhatian saya, ada beberapa perkara yang menyebabkan wujudnya keadaan sedemikian:

a. Kewibawaan Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi sedikit terjejas apabila beliau mencadangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan bersama BN dan mendakwa PKR dan DAP sudah bersetuju dengan konsep Kerajaan Perpaduan tersebut. Lebih menjejaskan lagi kewibawaannya apabila Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bahawa Haji Hadi perlu jawab bukan sahaja kepada PKR dan DAP, tetapi perlu jawab juga kepada Tuhan.

b. UMNO telah berjaya mengeksploitasi isu Kerajaan Perpaduan bagi mengaut simpati dan sentimen rakyat untuk kembali menyokong perjuangan UMNO. Pemimpin UMNO berterusan menjemput pimpinan PAS untuk berunding dan bermusyuwarah dengan mereka bagi mewujudkan perpaduan di kalangan umat Melayu dan Islam, manakala PAS pula berterusan menolaknya tanpa hujah yang kuat yang boleh diterima rakyat. Bagi orang-orang PAS yang sering mengikuti kuliah dan laman blog Tok Guru dan kepimpinan PAS yang lain tidak menjadi masalah untuk mereka memahaminya. Tetapi bagi golongan yang tak pernah mengikuti kuliah pemimpin PAS dan tak pernah menjengok laman blognya tentunya sukar bagi mereka untuk memahaminya. Jika Dr. Asri (bekas mufti) yang terlibat dengan perjuangan Islampun tak faham kenapa PAS menolak dan menutup pintu rundingan dengan UMNO demi perpaduan sesama umat Islam, bayangkanlah bagaimana sebahagian besar rakyat Malaysia yang tak terlibat dengan perjuangan Islam akan dapat memahaminya. Dr. Asri bertanya (dalam blognya); apakah kerana mendendami kezaliman UMNO yang lalu?

c. Saya pohon maaf kepada Tok Guru kerana berpendapat tulisan Tok Guru dalam laman blog yang mencadangkan diadakan EGM bagi menyingkirkan beberapa pemimpin utama PAS juga menyebabkan bertambahnya lagi persepsi negatif di kalangan rakyat terhadap PAS. Kepimpinan PAS kelihatan seolah-olah tak berdisiplin dan tak berperaturan.

d. PAS agak ’senyek’ dalam memperkatakan matlamat perjuangannya untuk melaksanakan syariat Islam sejak bersama Pakatan Rakyat. Ini menyebabkan rakyat tertanya-tanya apa sudah jadi dengan matlamat perjuangan PAS? Jika matlamat untuk memperjuangkan syariat Islam telah digugurkan, apa lagi yang membezakan PAS dengan UMNO?

e. Isu bai’ah. Adakah pimpinan PAS hanya berbai’ah untuk setia kepada parti dan tidak berbai’ah dalam hal menyimpan rahsia parti?

f. Program-program tarbiah di peringkat cawangan agak lesu terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman.

8. Dalam hal menutup pintu rundingan dengan UMNO, pada pandangan saya ianya hendaklah dinyatakan bersama dengan hujah-hujah yang konkrit dan syar’ie. Jika hujah tak kuat, simpati dan ’mood’ rakyat terutama yang di atas pagar akan berpindah kepada UMNO kerana UMNO kelihatan lebih terbuka dan inginkan perdamaian. Rasanya PAS perlu meletakkan syarat kepada UMNO supaya menunjukkan komitmennya dalam perlaksanaan syariat Islam (termasuk hudud) di Malaysia untuk berunding dengan PAS. Lebih elok lagi kalau pihak PAS yang mencadangkan kepada UMNO untuk menganjurkan seminar dengan tajuk ”Kearah Perlaksanaan Syariat Islam Yang Syumul Di Malaysia”.

9. Saya amat bersetuju dengan kenyataan Tok Guru bahawa perjuangan UMNO tidak akan membawa rakyatnya ke syurga. Bagaimanapun rakyat perlu diberitahu dengan nas dan dalil yang lengkap betapa sesatnya perjuangan UMNO. Rasanya tidak cukup sekadar mengatakan UMNO sesat kerana mereka berpendirian ’agama suku dan politik suku’, kerana mereka telah kalih dengan hujah ini. Kebanyakan golongan muda tidak memahaminya. Mereka menganggap Islam mereka telah sempurna dengan mengamalkan lima rukun Islam serta beriman dengan enam rukun Iman. Ulama’ UMNO yang mengajar mereka begitu. Rakyat perlu diberitahu dengan tegas bahawa berjuang untuk melaksanakan hukum Allah (hudud) adalah wajib dan berdosa kalau mengabaikannya. Rakyat juga mesti diperingatkan sekali lagi (terutama golongan muda) bahawa apa sahaja usaha bagi menghalang golongan yang berusaha untuk melaksanakan hukum Allah boleh membawa kepada murtad.

10. Rakyat juga perlu bukti bahawa ’PAS FOR ALL’ bukan sekadar slogan PAS. PAS perlu menterjemahkan slogan tersebut menjadi suatu program yang dirangka khas sebagai ’Pelan Perpaduan Ummah Yang syumul’ dan tersendiri yang bukan sahaja berupaya menyatu-padukan umat Islam di Malaysia sekadar di dunia, bahkan Insya Allah akan membawa mereka ke syurga di akhirat nanti. Pelan Perpaduan Ummah anjuran PAS bukan sahaja untuk umat Islam, tetapi melibatkan juga semua kaum di Malaysia. Rakyat perlu diyakini bahawa kita menentang UMNO bukan kerana kita membenci mereka, bahkan kita menentang mereka dalam pilihanraya kerana kita sayangkan mereka dan ingin membawa mereka kembali kelandasan agama yang sebenar yang diredhai Allah swt. Apapun yang kita lakukan adalah demi kasih sayang kita kepada mereka. Insya Allah simpati rakyat akan bersama kita. Tetapi yang lebih penting ialah keredhaan Allah swt. Kepada perjuangan kita.

11. Solat hajat perdana di seluruh negara hendaklah diadakan untuk memohon agar Allah swt membuka pintu hati pimpinan UMNO bukan sahaja supaya membayar wang royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan, tetapi turut juga membuka pintu hati mereka untuk menerima dan melaksanakan syariat Islam sepenuhnya.

12. Saya masih ingat dan amat kagum dengan jawapan Tok Guru kepada wartawan yang bertanyakan pendirian Tok Guru mengenai usaha YM Tengku Razaleigh menjemput DAP untuk bersama Angkatan Perpaduan Ummah menentang BN dalam pilihanraya umum tahun 1990 dahulu. Tok Guru jawab: Alhamdulillah, saya amat bersetuju dan merasa gembira dengan perkembangan ini. PAS memperjuangkan syariat Islam, manakala DAP pula menentang pelaksanaan syariat Islam tentunya mustahil PAS dan DAP boleh duduk bersama. Alhamdulillah dengan adanya Semangat 46, PAS & DAP akan dapat duduk bersama dan PAS akan menggunakan kesempatan ini untuk menerangkan tentang Islam yang sebenar kepada mereka. DAP menentang Islam kerana mereka tak faham akibat sabotaj daripada pimpinan UMNO sendiri yang menakut-nakutkan orang-orang bukan Islam dengan syariat Islam. Inilah jenayah terbesar yang dilakukan oleh pimpinan UMNO kepada perjuangan Islam. Sudah lebih setengah abad UMNO berkongsi kuasa dengan kaum bukan Islam tapi tak pernah pimpinan UMNO menerangkan ’Konsep Perjuanagan Islan’ atau ’Konsep Keadilan Dalam Syariat Islam’ kepada mereka. Sebaliknya pimpinan UMNO telah mengada-adakan berbagai alasan yang boleh menakutkan orang-orang bukan Islam untuk menerima syariat Islam.

13. Alhamdulillah, tak sampaipun 20 tahun DAP berkawan dengan PAS walaupun kadang-kala hubungan itu berlangsung dalam keadaan tegang dan pernah putus dan kemudian bertaut kembali, Alhamdulillah kefahaman mengenai kebaikan syariat Islam di kalangan orang-orang bukan Islam semakin baik. Bahkan kebanyakan pimpinan DAP telah menyatakan persetujuan mereka kalau syariat Islam dilaksanakan untuk umat Islam di Malaysia. Yang menentangnya hanyalah Karpal Sing dan beberapa orang sahaja lagi. Inilah hakikat yang perlu di warwarkan kepada seluruh masyarakat Islam di Malaysia.

14. Rasanya sudah sampai masa yang sesuai bagi PAS untuk kesekian kalinya sekali lagi mencadangkan kepada UMNO secara rasmi untuk berbincang atau berseminar untuk merangka ’Pelan Tindakan’ atau ’Blue Print’ bagi melaksanakan syari’at Islam sepenuhnya di Malaysia. Kalau program Wawasan 2020 boleh dirangka sebegitu rupa untuk mencapai hasrat menjadi negara maju, apakah alasannya lagi bagi UMNO untuk menolak cadangan PAS merangka ’Pelan Strategik’ bagi melaksanakan syariat Islam untuk mencapai keredhaan Allah? Kalau sebahagian besar orang-orang Cina dan India telah bersetuju agar syariat Islam dilaksanakan untuk masyarakat Islam, adakah orang-orang Meleyu UMNO masih ada hujah untuk menolaknya? Kalau UMNO terima Alhamdulillah. Kalau UMNO tolakpun Alhamdulillah juga kerana kita akan mendapat pahala serta Insya Allah simpati dan ’mood’ rakyat yang mempunyai roh Islam akan bersama kita.

15. Lajnah Penerangan dan Perang Saraf serta Lajnah Tarbiah bagi semua Dewan (Ulamak, Pemuda, Muslimat & Kelab Penyokong PAS) hendaklah duduk semeja berbincang untuk menubuhkan satu pasukan bagi mengkaji dan menjawab sebarang unsur negatif terhadap PAS yang disebarkan oleh semua media massa yang pro-UMNO dalam forum-forum yang disiarkan secara langsung oleh RTM, TV3 & ASTRO serta laman-laman blog yang bertebaran sekarang ini. Seeloknya komen atau soalan hendaklah dibuat secara langsung juga. Pasukan ini juga perlu ditubuh dan diaktifkan di peringkat kawasan dan cawangan. Ini akan menghidupkan lagi perbincangan dan para penonton TV para pengunjung laman-laman blog akan mendapat jawapan sebenar dalam isu-isu yang dibangkitkan. Apabila sebahagian besar penonton TV dan pengunjung-pengunjung laman blog membuat komen-komen positif tentang parti PAS, ini akan memupuk sentimen dan ’mood’ dikalangan rakyat untuk menyokong perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat. Akhbar-akhbar parti Pakatan Rakyat seperti Harakah dendaklah menyediakan satu kolum untuk Lajnah Penerangan menjawab isu-isu tersebut secara ringkas dan tepat.

16. Dulu (awal 80-an) YB. Ust. Halim selalu menyebut ’Menyerang adalah merupakan teknik mempertahankan diri yang terbaik’. Jadi dalam situasi sekarang kita jangan sahaja leka menjawab tohmahan dan fitnah yang direka UMNO, kita juga mesti menyerang UMNO dengan hujah-hujah dan dilil-dalil yang benar dalam segala aspek baik dalam hal syari’at maupun perkara-perkara yang berkaitan dengan aqidah.

17. Lajnah Kebajikan di peringkat kawasan dan cawangan hendaklah diaktifkan lagi bagi mengumpulkan segala permasaalahan rakyat setempat. ’Jawapan’ kepada segala permasaalahan tersebut akan menjadi pemangkin untuk rakyat memberikan sokongan (undi) kepada perjuangan kita.

18. Pakatan Rakyat sedang merangka cadangan untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat secara rasmi sebagai satu organisasi dengan menggunakan satu lambang. Perkara yang amat penting untuk dimasukkan dalam objektif penubuhannya ialah perlaksanaan Syariat Islam walaupun hanya untuk orang-orang Islam sahaja. Jika perkara ini dapat dilakukan, Insya Allah PAS akan dapat memulihkan keyakinan umat Islam bahawa PAS memang benar-benar berjuang untuk melaksanakan syariat Islam.

19. Wala’ dikalanagan sesetengah ahli dan pimpinan PAS samada di peringkat Cawangan, Kawasan dan Negeri terhadap kepimpinan yang lebih tinggi dari kedudukan masing-masing agak longgar. Mereka suka mengkritik kepimpinan parti secara terbuka dalam blog masing-masing atau membuat kenyataan akhbar. Saya amat bersetuju dengan kenyataan Ust Idris Ahmad bahawa semua pimpinan PAS hendaklah menjadi jurucakap PAS sahaja. Adapun pendapat pribadi hendaklah dikemukakan dalam majlis-majlis mesyuarat tertutup sesama pimpinan.

20. Dalam hal tarbiah, saya mencadangkan agar pimpinan tertinggi PAS di peringkat pusat mengarahkan semua ahli PAS terutamanya yang memegang jawatan, samada di peringkat kawasan atau cawangan supaya masing-masing menempatkan diri dalam dua keadaan; samada ’mengajar’ (memberi kuliah) atau ’mengaji’ (mendengar kuliah) secara aktif sekurang-kurangnya sekali seminggu. Kalau mereka tak mampu mengajar, maka mereka wajib mengaji. Ahli-ahli PAS juga perlu digalakkan berpuasa pada setiap hari isnin dan khamis. Sekali-sekala adakan majlis ’Penerangan & Berbuka Puasa’ bersama kepimpinan PAS. Kalau bukan kepimpinan PAS yang merancang program untuk mendidik dan mentarbiah ahli-ahli PAS, maka kepada siapakah lagi yang hendak kita harapkan? Kalau perkara ini dapat dilaksanakan, Insya Allah perkembangan PAS akan menjadi lebih pesat lagi dan masyarakat akan dapat menilai betapa baiknya menjadi ahli PAS. Simpati dan ’mood’ rakyat juga akan bersama PAS.

21. Pimpinan PAS peringkat negeri juga perlu menyusun Jadual Tahunan untuk turun ke Medan Kuliah di semua kawasan sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk menyampaikan perkembangan terkini parti. Jadual Lawatan Pimpinan Negeri ke kawasan hendaklah disebarkan ke semua cawangan dan AJK peringkat cawangan, pemuda dan muslimat hendaklah diwajibkan hadir kemajlis tersebut. Jika perkara ini dapat dilakukan, Insya Allah akan wujudlah keselarasan dan kasatuan fikrah di kalangan pimpinan dan ahli-ahli PAS.

22. PAS hendaklah merancang program-program hiburan yang diharuskan dalam Islam untuk dilaksanakan secara berkala di seluruh negara sebagaimana yang pernah dilaksanakan di Kelantan. Setiap program hendahlah dimulakan dengan solat maghrib, solat isyak dan solat hajat secara berjamaah. Tempat duduk penonton hendaklah diasingkan di antara penonton lelaki dengan penonton perempuan dan yang berkeluarga.

23. Dalam perlawanan-perlawanan bola sepak yang diadakan di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, sebaik-baiknya dianjurkan solat maghrib dan solat hajat secara berjamaah serta tazkirah kepada para penonton agar jangan mengabaikan solat fardhu walau dalam keadaan bagaimana sekalipun serta menjaga adab-adab kesopanan sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Imam sebaiknya hendaklah di kalangan pimpinan PAS negeri atau sesiapa sahaja yang layak dan sesuai. Perkara ini hendaklah dipelopori oleh Pemuda PAS sendiri sebagai sebuah gerakan Islam yang terlibat secara langsung bukan sahaja dalan siasah tetapi juga mencakupi bidang tarbiah. Biasanya program-program tarbiah yang dianjurkan hanyalah melibatkan jawatankuasa PAS sahaja. Jadi sudah sampai masanya sekarang pihak PAS khususnya Dewan Pemuda PAS merancang program-program yang melibatkan semua golongan tanpa batasan politik. Dalam keadaan beginilah, di mana terhimpunnya segala ’spesis’ manusia dari segenap ceruk negeri datang untuk menyaksikan pertandingan sukan yang mereka gemari, maka amat rugilah kalau kita tidak menggunakan kesempatan yang ada untuk berdakwah demi membentuk akhlak mereka. Rasanya Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan boleh menjadi peneraju dalam perkara ini.

24. Akhir sekali, satu ijtima’ khas peringkat kawasan Parlimen (boleh digabungkan beberapa kawasan Parlimen berdekatan dalam satu ijtima’) perlu diadakan bagi memperbaharui tekad dan semangat juang ahli-ahli PAS. Setiap ahli PAS hendaklah diberikan peranan supaya masing-masing merasa bertanggung jawab dan menyedari bahawa mereka adalah ’satu mata-rantai’ dalam perjuangan Islam yang panjang ini. Biar mereka dapat merasai dan meyakini bahawa tonggak permulaan mata-rantai perjuangan ini dibina dan dipegang oleh Nabi Muhammad SAW. kemudian diikuti oleh para sahabat dan sekarang kitalah yang mewarisi perjuangan suci ini yang kelak kita akan mewariskannya pula kepada anak-cucu kita untuk generasi yang akan datang. Semua pimpinan dan ahli-ahli PAS disemua peringkat perlu dikejutkan dari lena untuk bangkit bekerja secara terancang.

25. Barangkali segala saranan di atas agak sukar dan payah untuk dilaksanakan kerana pelbagai kekangan. Tetapi kalau semua aktivis PAS bersatu serta ikhlas dan komited dengan perjuangan untuk menegakkan syariat Islam, InsyaAllah segalanya akan menjadi mudah. Segalanya kita lakukan demi kasih sayang kita sesama insan untuk mencapai keredhaan Allah swt.

Sekadar itulah sahaja pandangan saya. Dipohonkan berbanyak kemaafan daripada Tok Guru, Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan kepimpinan PAS yang lain. Saya berkeyakinan bahawa semua pimpinan PAS yang ada pada hari ini adalah merupakan saf pimpinan yang terbaik untuk menggerakkan jentera parti kearah mencapai matlamat perjuangan yang diredhai Allah. Semoga Allah swt menganugerahkan kesihatan dan kesejahteraan kepada Tok Guru dan semua pimpinan PAS dalam melaksanakan amanah perjuangan.

Sekian, Wassalamualaikum wr wbrt.

Daripada: Hanafi bin Ismail

No comments:

Post a Comment