Friday, November 27, 2009

KHAIRA UMMATIN DAN USAHA MENJAYAKANNYA BERDASARKAN SIRAH RASULULLAH SAW - UST MUHAMMAD 'UTHMAN EL-MUHAMMADY

OLEH:

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

· Dalam hubungan dengan ayat:

كنتم خير امة اخرجت للناس _ال عمران 110

“Kamu umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk faedah umat manusia” dan seterusnya “kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”

Maka dalam “Tafsir al-Qurtubi”

· dinyatakan bagaimana umat Islam terbaik di kalangan umat-umat manusia sebanyak tujuh puluh semuanya.

· Pada Ibn ‘Abbas rd: merujuk kepada mereka yang berhijrah dari Makkah ke Madinah dan menyaksikan perang Badar dan Hudaibiyah;

· Dilaporkan ‘Umar bin al-Khattab rd menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan perbuatan-perbuatan seperti mereka itu maka jadilah seperti mereka.

· Ada pendapat yang menyatakan mereka umat Nabi Muhammad saw, iaitu orang-orang yang soleh di kalangan mereka dan yang mempunyai kelebihan.Dan mereka yang menjadi saksi manusia di akhirat;

· Kata Mujahid rd : “Kamu umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk umat manusia…” mengikut syarat-syarat yang tersebut dalam ayat itu;

· Ada pendapat yang menyatakan : maknanya kamu dealam Lauh al-Mahfuz

· Ada pendapat yang menyatakan: kamu bila kamu beriman menjadi umat yang terbaik…

· Antaranya bermakna kamu dengan terkedepannya kamu daripada ahlil-kitab adalah sebaik-baik umat

· dan al-Akhfash rh menyatakan: ahli bagi umat ini, sebaik-baik ahli agama.

· Dari Abu Hurairah rd terdapat riwayat “Kamu umat terbaik yang dikeluarkan bagi umat manusia” , katanya kamu menarik manusia dengan rantai kepada Islam.Kata al-Nahhas rh takdir mengikut huraian ini kamu bagi umat manusia semua sebaik-baik umat.

· Mengikut pendapat Mujahid rh kamu umat yang terbaik bila kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran .

· Ada pendapat yang menyatakan : umat Muhammad saw menjadi umat yang terbaik kerana Muslimin di kalangan mereka paling ramai, dan amar ma’ruf dan nahi munkar di kalangan mereka tersebar dengan meluas.

· Ada pendapat yang menyatakan: mereka sahabat rasulullah saw sebagaimana yang terkandung dalam maksud hadith “generasi yang terbaik generasiku” (qarni), iaitu yang aku dibangkitkan di kalangan mereka.

· Demikian seterusnya kelebihan mereka yang ada dalam dua atau tiga generasi selepas nabi saw.

· Diriwayatkan pula oleh Abu Umamah rd bahawa Nabi saw bersabda :

طوبى لمن رءانى و ءامن بى وطوبى سبع مرات لمن لم يرنى وءامن بى

Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku, dan berbahagialah tujuh kali bahagia orang yang tidak melihatkyu walhal ia beriman kepadaku.

· Dan dalam “Musnad Abi Daud at-Tayalisi” terdapat riwayat dari ‘Umar rd katanya bahawa beliau duduk di sisi Rasulullah saw kemudian Rasulullah saw bertanya maksudnya :Siapakah yang paling afdhal sekali dari segi keimanan? Selepas para Sahabat menyebut para malaikat dan nabi, baginda bersabda:

افضل الخلق ايمانا قوم فى اصلاب الرجال يؤمنون بى ولم يرونى يجدون ورقا فيعملون بما فيه ويؤمنون بى ولم يرونى

“Makhluk yang paling utama sekali dari segi keimanan ialah kaum yang ada dalam sulbi para lelaki yang beriman denganku walhal mereka tidak melihatku, mereka mendapati helai-helai kitab kemudian mereka beramal dengan apa yang ada di dalamnya, mereka itulah makhluk yang paling utama dari segi keimanannya”

· Ringkasnya dalam “:Tafsir al-Qurtubi” dinyatakan bahawa dalam membuat kesimpulan tentang hadith-hadith berkenaan dengan bab ini ialah: generasi zaman nabi saw ada mempunyai keutamaan kerana mereka asing -ghuraba’- dalam keimanan mereka dengan ramainya para kuffar dan kesabaran mereka dalam menghadapi kesakitan, dan mereka terus menerus berpegang kepada agama mereka; dan mereka yang akhir dalam umat ini pula bila mereka itu mendirikan agama mereka dan berpegang kepadanya serta bersabar dalam mentaati Tuhan mereka dalam masa banyaknya kejahatan, kefasikan, dan pembunuhan yang tidak menentu (al-harj), serta kemaksiatan dan dosa-dosa besar, mereka juga menjadi orang-orang asing (ghuraba’) dan amalan-amalan mereka menjadi murni dan bertambah-tambah sebagaimana murni dan bertambah-tambahnya amalan mereka yang awal itu.Ini dibuktikan oleh hadith yang bermaksud “Islam bermula asing, dan ia akan kembali asing, maka berbahagialah orang-orang asing (ghuraba’)…”

Dalam “Tafsir Ibn Kathir” dalam hubungan dengan ayat ini terdapat kenyataan-kenyataan yang berguna seperti berikut, antaranya:

· Selepas menukil ayat yang bermaksud”kamu umat yang terbaik yang dilahirkan untuk faedah umat manusia, kamu menyuruh kepada kebaikan, dan mencegah kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah; kalaulah Ahlil-Kitab itu beriman maka itu lebih baik bagi mereka; di kalangan mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik derhaka”, beliau menyatakan bahawa dengan ayat ini Allah memberitahu bahawa umat ini- umat Islam- adalah umat yang paling baik.

· dalam al-Bukhari ada riwayat dari Abu Hurairah rd “umat yang paling baik untuk umat manusia” iaitu kerana kamu menyeret umat manusia sehingga mereka masuk ke dalam Islam.

· Maknanya umat yang paling baik itu ialah umat yang paling bermenafaat bagi manusia.

· Ini pula diperkuatkan dengan hadith riwayat Durrah binti Abi Lahab yang menyatakan bila ditanya tentang manusia yang paling baik, Rasulullah saw menjawab di atas minbar”Manusia yang paling baik ialah yang paling tahu membaca Quran, yang paling bertaqwa kepada Allah, yang paling menyuruh kepada yang ma’ruf, yangt paling mencegah kemungkaran dan yang paling menghubungkan silatur-rahim”.

· Dalam hubungan dengan ini semua Ibn Kathir rh menyatakan bahawa yang sahihnya ialah maksud ayat ini ialah umum untuk semua umat Islam ini, tiap-tiap generasinya, dan generasi yang terbaik ialah generasi yang Rasulullah saw dibangkitkan di kalangan mereka kemudian mereka yang berikutnya kemudian mereka yang berikutnya.

Ciri-Ciri Umat Yang Terbaik

· Antaranya ialah menyuruh kepada kebaikan

· mencegah kemungkaran

· Beriman kepada Allah.

Yang menentukan kebaikan dan keburukan ialah kehendak Allah sebagaimana yang ada dalam Quran dan Sunnah dan perkara-perkara lain didasarkan kepada kias mengikut apa yang ada dalam keduanya sebagaimana yang terkenal dalam usul al-Fiqh dalam Ahlis-Sunnah wal-jamaah.

· Sebutan tentang keimanan terakhir itu bukan bermakna ianya terakhir dari segi kepentingannya; ianya disebut terakhir kerana yang kelihatan pada mata manusia ialah amalan-amalan lahiriah seperti amar ma’ruf dan nahi munkar;keimanan yang menjadi dasar kepada kedua-duanya.

· Dalam segi yang berbeza umat yang terbaik itu boleh dilihat dari segi keimanannya kepada Allah yang benar dan betul tanpa kesesatan, kesyirikan, dan kekufuran.Aqidahnya yang disepakati ulama umat ini ialah aqidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah sebagaimana yang awalnya diajarkan oleh nabi saw dan para Sahabatnya, Aqllah meredhai mereka.Kemudian dihuraikan akidah ini oleh para ulama Ahlis-Sunnah yang datang kemudiannya.

· Umat terbaik ini juga boleh dilihat dari segi mereka melaksanakan tugas-tugas kerohanian dalam hubungan degan Tuhannya dan para makhlukNya.Ini antaranya jelas dari maksud ayat: “(Iaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang , menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf, dan mencegah dari perbuatan yang munkar, dan kepada Allahlah kembali segala urusan”.(al-hajj.41).

· Ini boleh dilihat dari segi orang perseorangannya dalam penghayatan hidup pengabdian kepada Tuhan dalam semua perkara sebagaimana yang ada dalam maksud doa iftitah orang yang melakukan sembahyang.dan memang ini bersesuaian denga matlamat kejadian manusia ialah untuk pengabdian kepada Tuhan (al-Dhariat.56).

· Umat terbaik ini juga boleh dilihat dalam akhlaknya yang mulia dan tinggi sebagaimana yang terkandung dalam maksud ayat :”:Demikianlah kami jadikan kamu umat menengah” (ummatan wasata) (al-Baqarah.143) yang memaksudkan umat yang adil dan pilihan.Dan nabi saw sendiri dipujikan oleh Allah berdasarkan akhlaknya sebagaimana yang terkandung dalam maksud ayat “Sesungguhnya akhlak tuan hamba adalah agung” (Nun.4).dan terkenal dalam hadith Abu Daud bahawa baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (makarim al-akhlak).

· Umat terbaik ini juga boleh dilihat dalam ketaatannya kepada Hukum Ilahi yang datang dalam bentuk Syariat yang sempurna yang menyeluruh sifatnya.Ciri-cirinya ialah kesyumulan, keadilan, keseimbangan, perlaksanaan hak-hak pada tempatnya, kesediaan memberi tempat bagi perubahan-perubahan yang diperlukan oleh perubahan tamadun manusia, meletakkan sesuatu mengikut kedudukannya, kesesuaian dengan fitrah manusia dan hukum alam.Tidak ada sistem hukum yang boleh dibandingkan dengannya.

· Ketundukan umat terbaik ini kepada Hukum Islam tergambar dalam Quran dalam ayat yang bermaksud :”Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan tuan hamba sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang tuan hamba berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”(an-Nisa’.65).

· Umat terbaik ini juga kelihatan ciri-cirinya dalam persaudaraan yang dijayakan dalam zaman awal Islam sehingga melalui hubungan persaudaraan dalam keimanan yang kuat itu timbul kegigihan dalam menjayakan Islam dan mengembangkannya sampai ianya tersebar di dunia.

· Selain daripada perpaduan, persaudaraan dan kerjasama yang timbul hasil daripada semangat keagamaanyang murni, Ibn Khaldun rh dalam ‘al-Muqaddimah”nya memberi huraian pada beberapa tempat dalam teksnya itu kepentingan “al-‘asabiyah” atau kesetiakawanan yang positif yang menjadi syarat bagi menjayakan agama dan tamaddun dalam sejarah manusia.

Dunia Melayu-Nusantara

· Secara ringkasnya elok rasanya disebutkan bahawa dalam hubungan dengan kewujudan Dunia Melayu sebagai sebahagian Alam Islam ianya ditentukan oleh tiga wacana agung Sunni seperti berikut(selain daripada Quran dan Sunnah yang mendasari segalanya):

· Pertamanya dari segi akidahnya ianya Ahlis-Sunnah wal-jamaah berdasarkan kepada huraian-huraian Rukun Iman dan cawangan-cawangannya mengikut Imam Abul-hasan al-Asy’ari rd dengan tambahan-tambahan bila diperlukan samaada dalam hubungan dengan aspek-aspek klasik atau moden yang berkaitan.Pada penulis ini mesti dikekalkan, dengan tambahan-tambahan seperlunya serta dengan penyesuaian-penyesuaiannya.

· Keduanya dari segi Syariat, rantau ini mendapat panduan daripada Imam Mujtahid Sunni, iaitu Imam Syafi’I rd, dengan tambahan-tambahan seperlunya.

· Ketiganya dalam bidang kerohanian dan akhlak rantau ini mendapat bimbingan yang banyak daripada Imam Hujjatul-Islam Muhammad al-Ghazali rd terutama dengan”Ihya’”nya dengan tambahan-tambahan seperlunya.Pada penulis ketiga-tiga wacana agung Sunni perlu diteruskan dengan tambahan-tambahan dan penyesyuaian-penyesuaian yang seperlunya.Ini demi untuk menjaga kesahihan pegangan dan amalan serta untuk menjamin sifat keseragaman acana intelektuil Islam untuk menjadi asas perkembangan budaya dan tamadun Islam rantau ini seterusnya dengan izin Ilahi.

· Keempatnya penulis mahu membuat cadangan- sebagai wacana agung keempat untuk rantau Dunni ini - iaitu eloklah dijadikan “al-Muqaddimah” oleh Ibn Khaldun rh sebagai panduan dalam hubungan dengen pemerkasaan budaya dan tanmadun rantau ini dan juga hubungannya dengan Alami Islam yang lebih besar.

· Empat wacana agung ini seharusnya diperkasa dan dihayati dirantau ini dengan tambahan-tambahan seperlunya.

Pengajaran Dari Sirah Nabawiyah

Dalam hubungan dengan pengajaran dari Sirah Nabawiyah menyentuh usaha pembinaan umat ini ada beberapa perkara ringkas yang boleh disebutkan:

· Sudah tentu pertama-tamanya perkara akidah perlu diutamakan, iatu akidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang perlu disampaikan kepada umat dalam bentuk yang senang difahami dan diterima oleh mereka, dengan mengambil kira cabaan-cabaran semasa yang dihadapi, supaya dengan itu penerimaan akidah berjalan dengan kefahaman yang baik dan jelas.

· kalau kanak-kanak maka hendaklah ianya disesuaikan dengan mereka dengan diberikan alasan-alasan yang senang diterima oleh mereka.Pendeknya tiap-tiap golongan mendapat pendedahan yang sewajarnya.

· cabaran-cabaran akidah dalam bentuk lama atayu baharu- termasuk pascamodenisme- perlu didedahkan kepada golongan sasaran bila ianya relevan.Kalau tidak relevan, tidak perlu diberikan.

· Keduanya kefahaman tentang tugas-tugas rohaniah yang dimestikan bermula dengan tugas-tgas seperti sembahyang, dimulakan dengan apa-apa yang wajib, kemudian ditambah dengan yang sunat-sunat dan adab-adabnya.Pendedahan hendaklah menarik dan sesuai dengan keadaan golongan sasaran.

· Ketiganya kefahaman tentang nilai-nilai baik buruk yang sewajarnya diberikan dengan cara yang meyakinkan golongan sasaran, dengan berdasarkan dalil nakli dan akli, dengan mengambil kira apa-apa perkembangan semasa yang ada.hendaklah ditunjukkan bagaiman unggulnya ajaran tentang nilai yang adapada Islam dan bagaimana melesetnya ajaran yang bercangfgah dengannya samaada dari segi intelektuil atau segi sejarah dan kesan dalam masyarakatnya.

· Keempatnya hendaklah didedahkan dengan sewajarnya kefahaman tentang sistem Syariat Islam yang unggul dan meliputi yang semestinya dijunjung dan diamalkan oleh semua orang secara perseorangan dan kolektif sehabis daya upayanya.Halangan-halangan hendak;lah diselesaikan dengan cara yang baik dan bijaksana dan berterusan tahap demi tahap.

· Kelimanya seruan kepada kebenaran agama ini hendaklah dilakukan mengikut apa yang diajarkan oleh al-Quran iaitu dengan hikmah kebijaksanaan bila sesuai dengan sasarannya, kemudian kalau tidak sesuai dengan nasihat yang baik, kemudian kalau tidak sesuai dengan bahasan yang lebih baik (an-nahl.125).Bil-hikmah adalah untuk mereka yang hatinya enang menerima hikmah kebijaksanaan terdiri daripada ilmu yang betul dan bermenafaat sampai bila-bila seperti yang ada dalam Qran dan Sunnah; dengan nasihat yang baik itu adalah kaedah dalam menghadapi mereka yang tidak degil tetapi senang menerima nasihat yang baik terdiri darpada unsur menggemerkan kebaikan dan meliarkan daripada kejahatan; kaedah berbahas dengan apa yang paling baik itu dalam menghadapi mereka yang degil.Semuanya memerlukan persiapan.

· Keenamnya da’wah itu boleh dilakukan secara individu dan juga secara kelompok; secara lisan dan juga amal perbuatan dan contoh tauladan;

· Sudah tentu para da’I hendaklah terdiri daripada mereka yang mempunyai persiapan ilmu yang memadai bagi menghadapi sasarannya termasuklah ke dalamnya kefahaman bahasa golongan sasaran yang dihadapi berdasarkan kepada nabi saw menghantar para sahabatnya kepada kaum yang mereka mempunyai kebolehan dalam bahasa mereka itu.

· Ketujuhnya para da’I hendakleh terdiri daripada mereka yang mengatasi polarisasi umat dengan semangat kepuakan masingp-masing; mereka adalah seolah-olah “wakil Rasulullah saw” dalam menjayakan “tabligh”nya.

· Usaha-usaha mempengaruhi mereka dalam kalangan pimpinan hendaklah dilakukan dengan bijaksana, berkesan serta siasah yang halus dan penuh keberkatan.Hanya Allah sahaja yang memberi pertolongan sebenarnya .

Kesimpulan

· Inilah antaranya beberapa renungan sekitar “khaira ummatin”, ciri-cirinya, dan contoh tauladan dalam menuju ke arah pembentukannya - dengfan izin Ilahi - sebagaimana yang terdapat contohnya dari Sirah Nabawiyah.Wallahu a’lam.

Menyebar maklumat bohong ke neraka - Haji Hadi

(Teks ucapan penuh Ucapan Tuan Guru Presiden PAS sempena Majlis Makan Malam 10 tahun Jabatan IT PAS Pusat)

Oleh Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Firman Allah SWT, “Dan siapakah lagi yang lebih indah cakapnya termasuklah lisannya daripada orang yang menyeru kepada agama Allah juga beramal dengan amalan yang soleh seraya menegaskan sesungguhnya saya termasuk dikalangan orang-orang menyedari Islam adalah sebenarnya.”

Pertamanya, saya mengucapkan tahniah bersempena dengan ulangtahun ke 10, penubuhan Jabatan IT PAS Pusat.

Satu bahagian penting diwujudkan selaras dengan perkembangan semasa dan kemajuan teknologi moden yang wajib dimanfaatkan oleh PAS khususnya bagi menunaikan tanggungjawab menyampaikan mesej risalah Islam yang diamanahkan kepada kita sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW.

Ia bukan sekadar untuk menyampaikan maklumat tetapi untuk mengajak manusia disemua peringkat kepada Islam.

Dalam erti kata yang lain, mengislamkan manusia masyarakat dan negara khususnya dalam cara demokrasi barat yang memerlukan Islam mendapat sokongan yang ramai.

Oleh itu, maklumat tentang Islam memang sangat penting untuk menyampaikan hidayah itu ke dalam hati manusia.

Sebenarnya, menyampaikan maklumat sehingga orang itu mendapat hidayah adalah agenda besar daripada pokok amal yang termasuk dalam jihad menghapuskan musuh sehingga meninggal dunia.

Islam memilih pendekatan damai lebih dulu daripada peperangan. Islam melaksanakan peperangan apabila dipaksa selagi ada muwajahah silmiyyah. Kita memilih cara damai.

Oleh sebab itu, semua gerakan Islam yang ditubuhkan atas konsep islah dan tajdid mengambil saluran demokrasi, menyampaikan dakwah, mengajak manusia kepada Islam.

Penyampaian dakwah mestilah dengan maklumat, malah kita disuruh mengambil ruang maklumat untuk dimanfaatkan termasuklah dalam bidang IT.

Ia salah satu percapaian ilmu manusia yang terkini. Namun ia laksana senjata yang digunakan untuk mempertahankan diri atau digunakan sebagai senjata untuk melakukan kejahatan di muka bumi Allah SWT.

Dalam hal ini, PAS sebagai parti Islam wajib mengarahkan seluruh jenteranya, beramal dengan akhlaq dan adab-adab Islam.

Sekiranya kita melaksanakan tugas dengan akhlaq dan adab-adab Islam, maka sangat besar pahalanya dikurnia oleh Allah SWT. Sekiranya kita memilih dari yang lain, iaitu untuk membawa fasad sesama manusia, maka celaka dan balanya pun besar.

Marilah kita menghayati apa yang disabdakan oleh Allah SWT, “Jihad yang paling afdhal adalah berkata benar dihadapan pemerintah yang zalim” Jadikan ICT ini senjata untuk jihad menulis dan menerang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran.

Sangat besar fadhilatnya sekiranya kita berjaya menarik seseorang kepada perkara yang baik dengan ilmu dan tenaga yang ada pada kita.

Sabda Rasulullah SAW, “Demi sesungguhnya kejayaanmu menyampaikan hidayah kepada seseorang sehingga ia menerima petunjuk kepada Islam lebih baik jika dibandingkan dengan kenderaan yang paling mahal harganya”.

Dan sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang menunjukkan satu jalan yang baik lalu orang mengikut jalan itu, dia akan mendapat pahala kerana menjalankan tugasnya dan dia mendapat pahala selagi ada orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat.

Dan barangsiapa yang menunjukkan jalan yang buruk,maka dia berdosa kerana melakukan kerja itu dan menerima tanggungjawab dosa yang sama dengan orang yang mengikutnya sehingga hari kiamat.

Sesungguhnya, penyampaian melalui tulisan yang dicatit lebih berpanjangan dari ucapan yang diungkapkan. Maka, peranan ICT dalam menegakkan Islam sangat besar.

Terutamanya, teknologi maklumat menjadikan dunia yang lebih luas ini seolah perkampungan yang sempit.

Maklumat disebarkan dengan mudah, dicapai dengan mudah, maka kita juga menjadi sasaran.

Bukan sahaja kita menunaikan tanggungjawab menerang, tapi kita juga diserang. Disini, kita memerlukan kebijaksanaan dalam menangani keadaan semasa.

Kita diwajibkan untuk menggunakan uslub menerang lebih banyak daripada menyerang kerana matlamat kita adalah untuk menyelamatkan manusia.

Bukan untuk menuduh dan menghukum orang walaupun kita boleh menuduh dan menghukum orang itu.

Sekiranya menuduh dan menghukum itu membawa fitnah maka dosanya adalah besar. Sila buka kitab Riyaadus Solihin. Terjemahannya ada dalam bahasa kita.

Imam Nawawi menyebut satu hadith dimana Rasulullah SAW diwahyukan melalui mimpi. Mimpi seorang Rasul adalah benar dan wahyu daripada Allah.

Rasulullah SAW melawat neraka dan dilihat mereka yang diseksa dalam neraka itu, orang yang berzina dan memakan riba’ dan menyebarkan maklumat yang buruk sehingga perbohongan itu tersebar dengan luas, apatah lagi maklumat itu menjadi fitnah.

Dilihat seorang yang disangkut dengan penyangkut besi didagunya menembusi pipi dan mata diseksa didalam neraka, bila ditanya siapa itu, itulah penyebar maklumat bohong diseluruh pelusuk.

Disini, memberi peringatan kepada kita betapa kita perlu berhati-hati, apatah lagi kita adalah parti Islam yang menjadi model dan dilihat oleh orang lain.

Kesalahan satu titik dianggap kubah yg besar. Kesalahan yang kecil dibesarkan laksana bukit yang kukuh. Apa yang betul ditutup dan kita perlu bersabar dalam melaksanakan tugas.

Peranan dalam ICT sangat besar. Kita melihat sendiri perubahan politik dalam negara kita.

Kita mencapai kejayaan di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar. Mencapai kejayaan dalam kalangan mereka yang terpelajar tapi kita gagal mempengaruhi mereka yang jahil dan lalai.

Kejayaan itu kerana kita menganggap mereka yang menggunakan teknologi maklumat dan membawa kepada perubahan pemikiran.

Kita tidak cukup dengan itu sahaja. Kita perlu menambah kadar pengaruh kita dan memikirkan bagaimana maklumat kita dapat disampaikan kepada seluruh rakyat .

Dengan sebab itu, kajian-kajian yang dibuat dalam masyarakat kita, tidak boleh samakan dengan masyarakat di barat. Iaitu masyarakat yang bermaklumat, berilmu dan mempunyai ilmu pengetahuan.

Kita hanya mengambil maklumat sekadar mereka yang mempunyai internet dan handphone. Itu hanyalah segelintir.

Sedangkan satu bahagian yang lebih besar, dikawasan-dikawasan pendalaman, di rumah-rumah setinggan, pekerja petani dan nelayan, merekalah yang menentukan perubahan politik dalam negara.

Muda-mudi pula dihantui dengan hiburan yang melekakan, kerana itu kita perlu selamatkan dan tanggungjawab kita dalam hal ini sangat besar.

Dan terpenting, bukan sahaja kita bekerja dalam bidang teknologi maklumat tetapi kita mesti berusaha untuk menyampaikan maklumat itu ke bawah dengan seluas-luasnya.

Alhamdulillah, PAS sudah mencapai kemajuan dan mendahului parti-parti yang lain termasuk parti BN yg memerintah.

Mereka memang bergantung dengan jentera-jentera kerajaan. Tetapi, kita bergantung dengan jentera dan tenaga kta sendiri yang tidak seberapa.

Tetapi, sering kali Allah menjadikan kemenangan Islam itu dalam keadaan yang tidak seimbang.

Musuh yang lebih kaya, lawan yang lebih canggih alat yang lebih, kebendaan yang lebih banyak dan tenaga yang lebih ramai sehingga empat kali ganda.

Tetapi Allah SWT menyatakan, “Dan bersedialah kamu dengan sekadar kemampuan kamu daripada kekuatan”.

Sering kali kekuatan itu ditafsirkan dengan alat senjata untuk berperang termasuklah kekuatan itu adalah alat untuk menyampaikan maklumat dan menyediakan kekuatan sekadar kemampuan yang ada pada kita.

Mereka yang mempunyai kelebihan mestilah menyumbang dengan ikhlas dan jangan menyembunyikan apa yang ada pada dirinya kerana kemampuan kita diketahui oleh Allah SWT.

Mereka laksanakan tugas dengan ikhlas, semua keikhlasan itu lahir dalam hati sanubari. Kita tidak boleh mengubah hati dan pemikiran manusia melainkan keikhlasan yang ada dalam hati sanubari kita.

Disinilah rahsia kemenangan Islam. Kita melihat sendiri nikmat yang ada dalam PAS. Kita mencapai kejayaan yang besar lebih daripada jangkaan dan kekuatan yang sebenar.

Mengapa? Kerana disana ada pertolongan dari Allah SWT. Walaupun dalam perhitungan pilihanraya ada pasang surut. Ada musim kita menang dan kalah.

Pilihanraya kecil, ada kawasan yang kita menang dan kita kalah. “Itulah hari yang silih berganti dikalangan manusia
Namun kita perlu menyedari sebenarnya kemajuan kita berterusan.

Tiada berkurangan. Pilihanraya tidak boleh menjadi ukuran dan sukatan. Ukuran kefahaman masyarakat terhadap kita lebih penting.

Sebenarnya kita mendapat kemenangan moral dan besar di Bagan Pinang kerana BN terpaksa meletakkan calon yang tidak bermoral untuk mendapat kemenangan.

Walaupun kita merasakan natijahnya yang zahir namun disana terdapat kemenangan yang tersirat kurnia daripada Allah SWT.

Perubahan boleh berlaku sekiranya maklumat dapat disampaikan kepada rakyat. Maka peranan ICT sangat penting dalam menyampaikan maklumat ini.

Tidak cukup dengan majlis ceramah dan usrah sahaja kerana kita tidak boleh masuk ke dalam semua rumah. Tetapi ICT boleh menyalurkan maklumat dengan pelbagai cara dan lebih luas dan moden.

Disini, pihak ICT perlu membuat muhasabah, kajian dan perhitungan. Kita tidak boleh melihat yang lama sahaja.

Kita mesti mengejar kemajuan yang dicapai dalam bidang ini dan bersama dengan kemajuan itu. Kalau boleh kita mendahului lawan dalam perkara ini.

Alhamdulillah, Jabatan IT PAS Pusat sudah mencapai 10 tahun, satu usia yang sangat bermakna kepada kita.

Sudah tentu keadaannya lebih baik daripada mula ia ditubuhkan. Tidak cukup dengan keadaan yang ada bahkan mesti berusaha untuk mencapai yang lebh baik dan maju lagi.
Mudah-mudahan majlis ini diberkati oleh Allah SWT dan segala amal diterima olehNYA.

Sabda Nabi Muhammad SAW, “Teruskan perjalanan dengan mendapat keberkatan daripada Allah”. Kita rasmikan majlis ini.

Wabillahi Taufiiq Wal Hidayah, Assalamu’alaikum wrt wbt

Wajib Baca : Perbezaan PAS dan UMNO


Oleh Dato’ Ustaz Haji Harun bin Taib

Masalah PAS dan UMNO bukan masalah berapa bilangan masjid yang dibina, bukan berapa bilangan sekolah agama yang dibina, bukan masalah institusi kewangan Islam, bukan masalah berapa buah pusat pengajian tinggi Islam yang dibina, bukan berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk membina lapangan terbang, lebuh raya dan lain-lain, bukan berapa jumlah wang yang dibelanjakan untuk pendidikan tinggi dan rendah yang dibelanjakan oleh UMNO atau PAS

Masalah antara UMNO dan PAS ialah dasar dan matlamat pejuangan yang jauh berbeza. PAS memperjuangkan agar Islam menjadi aqidah Negara Malaysia, samada dari sudut pentadbirannya atau kehakimannya dan lain-lain. Pendek kata, apa yang terkandung didalam dua kalimah syahadah iaitu tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH, Nabi Muhammad S.A.W pesuruh ALLAH itu hendaklah terlaksana dalam kehidupan individu, masyarakat dan Negara.
Adapun pun UMNO sering mencabar tuntutan dua kalimah syahadah itu. UMNO kelihatan melakukan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan puasa bulan ramadhan, mengerjakan haji, menjalankan aktiviti nikah kahwin mengikut Islam. Tetapi pentadbiran dan pemeritahan Negara mencabar Quran dan Sunnah. Sebab itu, dengan rasa senang hatinya, UMNO yang menjadi teras kepimpinan Negara, terang-terang menolak hukum ALLAH didalam bidang pentadbiran, kehakiman, perundangan, pendidikan dan lain-lain.

Oleh kerana itu, Malaysia yang sejak merdeka, yang dipimpin oleh UMNO dan Barisan Nasional menghadapi masalah yang tidak terhitung banyaknya. Masalah keselamatan, janayah, rasuah, penyalahgunaan kuasa, rompakan kecil atau besar, rompakan institusi kewangan, rompakan kaum wanita, warga emas dan kecurian disetiap detik berlaku dinegara ini.

Setelah lebih 50 tahun UMNO memerintah, Islam dan kekuatan orang Melayu terhakis. UMNO menghapus “kuasa imuniti Raja-Raja” yang menjadi salah satu kekuatan institusi Islam di Malaysia. UMNO membenarkan “Riddah” atau murtad berleluasa. UMNO juga mengamalkan budaya “Hendonisme” budaya “akhlak bobrok” melalui agensi-agensi penyiarannya.

Isu penyalahgunaan dadah, isu mat rempit, isu pendatang tanpa izin, isu ISA, ini semua berlaku selepas Malaysia dipimpin oleh UMNO. Puncanya ialah tidak menhayati kandungan ‘LA ILAHA ILLA ALLAH’. Oleh itu, jika pemimpin UMNO masih mengaku mempertuhankan ALLAH, menabikan Muhammad S.A.W, kenapa UMNO boleh sembahyang mengikut ajaran Islam, mengapa tidak boleh mengikut Islam dalam memerintah Negara? Adakah UMNO mengambil konsep beriman separuh kitab dan menolak separuh yang lain.

Kalau hanya bercakap membina masjid, di United Kingdom ada masjid, di Amerika Syarikat ada masjid, di Cina ada masjid, di Singapore ada masjid, di German pun ada masjid. Namun pentadbiran Negara mereka juga tidak mengikut ajaran islam. Oleh kerana itu, status kedudukan pemimpin dinegara barat dan timur yang Sekular, sama dengan kedudukan pemimpin UMNO diMalaysia ini.

Oleh kerena itu, saya rasa amat bertanggungjawab untuk menasihat kepada umat Islam di Malaysia ini, supaya jangan terjebak dengan kenyataan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO khususnya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika berkempen di Manek Urai baru-baru ini (rujuk salah satu akhbar harian Malaysia) tentang UMNO membela Islam dan menegakkan syiar Islam.

Secara peribadi pula, sewaktu Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor, beliau telah mengubah cuti am pada hari Jumaat kepada hari Ahad, sekaligus menjadikan amalan cuti itu seperti amalan orang-orang Nasrani. Apakah ini satu pembelaan terhadap Islam?

Saya ingin membuat contoh yang kecil tentang UMNO mencabar Al-Quran. Antaranya, Al-Quran dengan jelas dan terang mengarahkan supaya orang islam menjauhkan diri daripada arak, judi, berhala, sudi nasib atau tenung nasib, tetapi UMNO yang memimpin Malaysia mengeluarkan lesen arak, memberi lesen judi. Apakah ini satu pembelaan kepada Islam? Untuk satu contoh lain, umpamanya ALLAH memerintah supaya Negara ditadbir dengan ajaran ALLAH, namun UMNO menolaknya.

Oleh kerana itu, jika sekiranya masih wujud benih-benin iman di dalam hati para pemimpin UMNO, maka saya merayu kepada mereka dan kepada orang yang seiringan dengan mereka supaya mereka bertaubat dan kembali kepada jalan ALLAH. Sekiranya mereka mempunyai masalah didalam usaha kembali kepada jalan ALLAH itu, maka Dewan Ulamak PAS Pusat menawar diri untuk memberi khidmat bakti kepada mereka. Meneruskan Perjuangan Para Nabi

Dato’ Ustaz Haji Harun bin Taib
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Thursday, November 26, 2009

ROYALTI HAK KELANTAN - YBM TG RAZALEIGH

TRH/U/Phb/Kel/18 Bh.9

30hb Julai, 2009.

8hb Sya’ban, 1430.

Y.A.B. Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan,

Pejabat Menteri Besar,

Blok 1, Tingkat 1,

Kota Darulnaim,

15503 Kota Bharu,

KELANTAN. Dengan tangan/Fax No.09-7442748

Bismillahirrahmanirrahim.

Y. A. B. Dato,

TUNTUTAN ROYALTI MINYAK KERAJAAN NEGERI KELANTAN

Saya panjatkan do’a ke Hadrat Allah S.W.T. agar Y.A.B. Dato’ berada dalam keadaan sihat walafiat.

Sukacita saya maklumkan bahawa surat Y.A.B. Dato’ yang bertarikh 15 Julai, 2009, yang disampaikan kepada saya oleh Y.B. Dato’ Hj. Husam Musa pada hari Jumaat, 17 Julai, 2009, telah selamat saya terima dan diucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Apabila Malaysia ditubuhkan dalam tahun 1963, bidang kuasa (jurisdiction) ke atas luar pantai Malaysia di antara Negeri dan Persekutuan tidak ditentukan untuk negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Singapura oleh kerana Malaysia ditubuhkan dalam suasana di mana kita telah diancam oleh negara tetangga. Ini menyebabkan Kerajaan Negeri Sarawak telah mempertikaikan hak bidang kuasa Kerajaan Persekutuan ke atas luar pantai Malaysia di perairan Sarawak. Nasib baik dengan adanya Akta Kemajuan Petroliam 1974 pertikaian ini telah dapat diselesaikan dalam suatu perundingan yang diadakan dengan Kerajaan Sarawak. Saya telah mewakili Kerajaan Persekutuan untuk merundingkan masalah ini dan tanpa memilih jalan yang sukar, iaitu untuk meminda Perlembagaan Negara bagi menentukan bidang kuasa untuk Negeri dan Persekutuan yang tidak sempat dibuat sebelum ini mengenai kawasan luar pantai Malaysia , maka Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroliam telah diguna bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah ini tetapi telah dapat juga mengatasi kemungkinan ianya ditimbulkan oleh negeri-negeri seperti Sabah selain daripada Sarawak.

Akta Kemajuan Petroliam mempunyai keistimewaannya tersendiri. Ia telah menyebabkan ujudnya satu perjanjian dalam mana Kerajaan-kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah sanggup meletak hak selama-lamanya kepada PETRONAS mengenai petroliam yang ditemui sama ada di dalam atau di luar pantai Malaysia. Sebaliknya PETRONAS sanggup membuat bayaran tunai kepada Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan-kerajaan Negeri sebanyak 5% daripada nilai petroliam yang ditemui dan dijual tiap-tiap tahun menurut Perjanjian itu. Bagi Negeri Kelantan, Allahyarham Dato’ Hj. Mohamed bin Nasir, selaku Menteri Besar, telah menandatangani perjanjian ini dan saya bagi pihak PETRONAS telah menandatangani perjanjian yang sama dalam tahun 1975.

Jelas sekali, dengan tafsiran yang dibuat dalam kedua-dua perjanjian ini nampaknya tidak ada keraguan lagi mengenai bidang kuasa dalam dan luar pantai Malaysia mengenai petroliam. Jelas sekali PETRONAS terikat dengan perjanjian-perjanjian ini begitu juga Kerajaan Negeri Kelantan dan oleh itu PETRONAS wajib membuat bayaran tunai sebanyak 5% daripada petroliam yang diperolehi daripada luar pantai Malaysia yang bersetentangan dengan Kelantan kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Kalau tidak silap saya, sebahagian daripada kawasan luar pantai Malaysia yang diusahakan oleh JDA (Joint Development Authority) sekarang ini pernah diberi kepada syarikat asing untuk mencari gali minyak dalam tahun enam-puluhan dahulu tetapi diserahkan balik kepada Kerajaan Persekutuan apabila didapati ianya tidak ekonomik oleh kerana kos mencari gali minyak di ketika itu melebehi harga pasaran minyak dunia. Untuk makluman Y.A.B. Dato’, saya telah meminta Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak, untuk mengguna pakai Seksyen 4 Perjanjian di bawah Akta Kemajuan Petroliam ini supaya PETRONAS menandatangani dengan setiap negeri di Semenanjung Tanah Melayu untuk menseragamkan perjanjian-perjanjian yang dibuat oleh PETRONAS di bawah Akta tersebut. Apatah lagi disedari bahawa negeri-negeri di Pantai Timur masih kurang maju yang memerlukan bantuan untuk pembangunan dan sudah tentu akan mendapat manfaat daripada bayaran tunai daripada PETRONAS.. Pada masa itu difikirkan ada kemungkinan kawasan luar pantai Malaysia berhampiran atau bersetentangan dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang mempunyai petroliam dan/atau gas asli mungkin memberi harapan yang baik kepada rakyat dan negeri-negeri tersebut sekiranya petroliam ditemui di luar pantai Malaysia berhampiran negeri-negeri itu.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

Yang ikhlas,

(Tengku Razaleigh Hamzah)

————————–

Wednesday, November 25, 2009

Semua Rezeki Datangnya Dari Allah SWT - Dr. Harun Din

SOALAN


ADA sebuah restoran di taman perumahan kami, amat maju dikunjungi ramai pelanggan, beroperasi bertahun-tahun, tiba-tiba ada restoran baru dibuka yang mengakibatkan restoran tadi kehilangan hampir semua pelanggan, akhirnya ditutup. Orang mengatakan restoran yang maju tiba-tiba gulung tikar berpunca daripada perbuatan orang menutup rezeki dengan menggunakan perbuatan sihir sehingga bankrap, betul kah begitu?

ABDUL HALIM MOHAMMAD
Meru, Selangor


JAWAPAN

Umat Islam perlu yakin dengan sepenuh-­penuhnya bahawa rezeki terletak dalam kekuasaan Allah atau di tangan Allah, bukan di ta­ngan makhluk.

Mahfum Firman Allah (Saba’:24)

Katakanlah: "Siapakah yang memberi rezeki kepada mu dari langit dan dari bumi?" Katakanlah: "Allah", dan Sesungguhnya Kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata.

Mahfum Firman Allah (Al-Ankabut:60)

Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha mendengar lagi Maha mengetahui.

Mahfum Firman Allah (Ali Imran:26):

Katakanlah: "Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Memang banyak ayat-ayat Al-Quran yang merujuk kepada rezeki sebenar yang kita peroleh atau yang hilang daripada kita semua­nya dikembalikan kepada Allah SWT
Adapun yang dirujuk kepada saya dalam soalan ini, seolah-olah memberi makna bahawa ada manusia yang berikhtiar menutup rezeki orang lain dan mem­buka rezeki seseorang.

Dengan erti kata lain, ada manusia boleh mengkayakan atau memiskinkan manusia dengan kebolehannya, maka tentulah logiknya dia juga boleh membuka rezeki dirinya (untuk memperkayakan diri sendiri), bahawa dengan kekayaan itu dia boleh, membantu orang yang susah dan bukan menyusahkan orang yang sudah senang.
Secara logiknya, membuka rezeki lebih mudah daripada menutupnya. Contohnya, membuat sebuah bangunan lebih susah daripada membukanya. Memasang satu pintu mengambil masa yang lama dan sukar, sebaliknya memecahkan pintu adalah mudah dan sekejap sahaja.

Pada saya mungkin, restoran yang pertama, dibuka awal, tiada saingan, maka dengan sendirinya ramai pelanggan. Manakala restoran lain dibuka, dengan cara yang berbeza, layanan dan makanannya mungkin lebih berkualiti, muka ramai yang tertarik dan mengubah selera.

Sememangnya ada orang me­ngadu kepada saya bahawa pre­mis perniagaannya tidak dapat dilihat oleh pelanggan, seolah-­olah telah ditutup. Terpaksa berpindah ke tempat lain. Sedangkan restoran itu sebenarnya masih dibuka.
Mungkin juga pelanggan tidak perasan wujudnya restoran tersebut. Mungkin juga pelanggan hilang konsentrasi. Sebagai con­toh ada ketika kita pernah kehilangan seuatu benda (cermin mata misalnya), lalu kita mencarinya di merata-rata tempat, setelah puas mencari tidak berjumpa.

Maka isteri, bertanya, “Apakah yang kita cari, kita menjawab mencari cermin mata. Lalu dia memberitahu, “Itu cermin mata ada di atas meja”.
Mengapa selepas kita puas mencari tidak bertemu? Apakah kita disihirkan orang sehingga benda yang begitu mudah tidak dijumpai? Mungkin benar ada orang mengusahakan seperti meletakkan sesuatu yang diper­cayai boleh menyekat rezeki, tetapi yakini lah bahawa semua itu adalah usaha jahat manusia, walhal punca rezeki sebenar-benarnya di tangan Allah.

Bagaimanapun kita mesti berusaha menghindarkan per­buatan jahat manusia, seperti dengki khianat sebagaimana yang disebut dalam Surah an-Naas. Oleh itu, mohonlah kepada Allah, mohon perlindungan kepada-Nya. Carilah sebab-sebabnya mengapa Allah takdirkan kea­daan sedemikian berlaku.

AWASI UNSUR SYIRIK JIKA GUNA KAYU KOKA - DR. HARUN DIN

Soalan

Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka?

Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin. Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

Abu Bakar Zakaria,
Damansara, Selangor

Jawapan

Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.

Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.

Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.

Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras.

Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk 'madi' seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam.

Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam Sabdanya (mafhumnya); "Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT." (Hadis sahih)

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.

Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan.

Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen kepada penjual atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah.

Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja.

Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.

Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat.

Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti 'assina' dan 'assinut'. Dalam al-Quran disebut 'at-tiin', 'az-zaytun', 'ar-rummaan', 'an-nahiil' dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.

Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain.

Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.

Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.

Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.

Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, "Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian."

Umar menjawab; "Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya." Lalu Nabi berkata kepadanya, "Perlahankan sedikit."

Wallahua'lam.

- lanh

(Petikan dari Harakah Bil.1337)

Islam Tulen Boleh Selamatkan Umno

Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Ramai tokoh-tokoh UMNO bertanya pendapat saya, apakah caranya untuk memulihkan UMNO. Saya terlebih dahulu akui bahawa saya bukan ‘orang politik’ untuk menghuraikan masalah UMNO. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam UMNO.

Islam itu sebagai ad-din dalam kehidupan masyarakat Islam, termasuklah masyarakat melayu yang secara majoritinya mengakui Islam sebagai nadi hidup mereka. Jika UMNO inginkan masyarakat melayu menerima mereka, UMNO mestilah mendokong dan menjaga nadi hidup mereka ini dengan baik.

Justeru itu, jawapan saya mudah sahaja: “UMNO! Kembalilah kepada Islam tulen!” UMNO mesti memainkan peranan sebagai gerakan dakwah kepada Islam yang tulen, moderat dan progresif. Apabila saya kata demikian, bukan bererti saya menafikan keislaman UMNO sebelum ini, atau unsur-unsur Islam yang sedia ada dalam UMNO. Namun apa yang jelas keislaman UMNO itu perlu diperkukuh dan proses perbaikan kelemahan perlu dibuat segera.

Allah sendiri dalam al-Quran pernah menyebut: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, serta kepada kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), juga kepada Kitab yang telah diturunkan sebelum daripada itu. Dan sesiapa yang ingkar kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah al-Nisa, ayat 136).

Dalam ayat ini Allah memerintahkan orang yang beriman agar beriman. Bagaimana begitu? Tidakkah itu seakan-akan memerintahkan apa yang sudah terlaksana?! Tidak!

Maksudnya seperti kata al-Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini: “Allah ta’ala memerintahkan hamba-hambaNya yang beriman agar masuk secara keseluruhan dalam segala syariat iman, cabang, rukun dan tiangnya. Ini bukan suruhan agar melakukan perkara yang sudah tersedia, sebaliknya ia bermaksud lebih menyempurnakan yang sempurna, menetapkannya, mengukuhkannya dan berterusan atasnya”.

Dalam konteks UMNO, hendaklah mereka menghidupkan Islam dalam gerakannya kerana yang sedia ada itu tidak mencukupi.

Islamisasi Program

Di sini, saya tidak mahu bercakap tentang falsafah-falsafah politik yang besar-besar. Sudah saya sentuh isu-isu yang lebih prinsip dalam banyak tulisan saya yang lepas. Saya juga tidak berbicara untuk tujuan bagaimana UMNO ingin mengekalkan kuasa. Itu kerja orang politik.

Saya bercakap untuk kepentingan setiap individu muslim yang ada dalam UMNO. Saya ingin mengajak orang UMNO berfikir secara ‘kampung’ sahaja. Saya harap orang UMNO jangan kecil hati, saya bermaksud ingin menceritakan ubat bukan untuk menambahkan penyakit.

Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: ‘anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam UMNO?!. Atau anak saya dahulu kurang kefahaman agamanya tetapi selepas aktif UMNO, dia lebih memahami Islam yang sebenar.

Saya rasa agak sukar ungkapan seperti itu ditemui. Jika adapun mungkin kes terpencil bukan fonomena umum. Saya jumpa ramai orang yang ingin kembali menghayati Islam, kebanyakan mereka tidak akan memilih UMNO. Sama ada mereka memilih organisasi atau gerak kerja Islam yang lain, atau pertubuhan politik yang lebih ‘mensepandukkan’ lambang Islamnya.

Secara jujur, akuilah iklim dan suasana islamik tidak cukup kuat dalam UMNO untuk mereka yang ada semangat Islam rasa selesa boleh menumpang atau mengambil manfaat. Namun saya tidak menafikan UMNO juga ada membuka dan mengusahakan pelbagai ruang untuk Islam dalam kerajaannya. Itu kerajaan, namun di sudut parti jika ada program-program Islamik dalam UMNO ia amat terhad.

Lebih menyedihkan lagi berputar sekitar ‘kenduri tahlil’, barzanji, kenduri arwah dan yang sewaktu dengannya. Di samping program-program itu boleh dipertikaikan sejauh manakah tuntutan Islam mengenainya, ia juga tidak memberikan impak yang dapat merubah peribadi atau meninggalkan kefahaman dan penghayatan seseorang individu muslim.


-Gambar Hiasan

Seseorang aktif dalam sesuatu pertubuhan atau organisasi atas dua kepentingan, sama ada untuk dirinya atau masyarakat. Atau, boleh juga disebut kerana ikhlas tanpa kepentingan atau ‘ada udang di sebaliknya mee’. Untuk menjadikan seseorang ikhlas, bagi muslim agama adalah faktor penting.

Apabila kita merasakan gerakerja itu ibadah, jika tiada keuntungan pun kita akan buat, harta sanggup berikan, nyawa sanggup kita taruhnya. Inilah kekuatan organisasi Islam. Sekalipun sebahagian yang bernama Islam itu pada hakikatnya tidak Islamik, namun apabila mereka berjaya mencetuskan suasana yang Islamik, ramai yang tertarik. UMNO hendaklah jujur terhadap Islam zahir dan batin.

Hidupkan program-program Islam dalam UMNO. UMNO kena galakkan pengajian dan suasana ilmu dalam UMNO. Hidupkan pendekatan Islam yang tulen, matang dan progresif. Sehingga setiap yang masuk akan terasa perubahan diri, sikap, pemikiran dan akhlaknya. Jadikan ibubapa akan rasa seronok jika anaknya aktif UMNO kerana nanti nilai-nilai ketinggian budi, kematangan pemikiran, keutuhan ilmu akan terzahir pada kehidupannya.

Tokoh-tokoh pemikir yang baik, jujur dan progresif hendaklah dijadikan tonggak pengisian UMNO. Jangan paksa atau ajak ulama masuk UMNO, tetapi ambillah pendapat dan cadangan yang baik daripada para ulama yang ikhlas, progresif dan tidak berkepentingan. Jika hal itu dapat digarabkan ke seluruh pelusuk masyarakat melayu, penghayatan Islam akan meningkat, secara tidak langsung mudah-mudahan Allah memberikan kebaikan kepada niat yang jujur ini. Jika pun UMNO tidak menang pilihanraya, UMNO boleh menang pahala mengajak masyarakat menghayati Islam dan persepsi negatif akan dapat dikikis.


-Gambar Hiasan

Imej UMNO sering dikaitkan dengan kurang islamik. Di sudut kefahaman UMNO dikatakan kurang faham Islam. Walaupun sebahagian pihak yang mendakwa itu, kefahaman mereka belum juga tentu betul dengan Islam tulen yang dibawa oleh Nabi s.a.w.

Sebaliknya sebahagian mereka yang mendakwa itu sekadar memahami Islam berdasarkan rekabentuk atau rupa paras yang dicorakkan oleh organisasi atau parti mereka. Tafsiran mereka berdasar tuntutan semasa politik mereka. Namun apapun, imej Islam itu dikaitkan dengan mereka samada ia benar atau disalahgunakan.

Tidak dengan UMNO, sedangkan ruang menonjolkan Islam yang tulen serta progresif begitu diperlu oleh umat manusia terutama dalam negara kita ini. Bukan semesti pemimpin UMNO kena tukar jadi ulama. Banyak organisasi dakwah atau Islam tidak dipimpin oleh mereka yang bertaraf ulama, tetapi diakui nilai islamik mereka.

Jangan UMNO takut kehilangan undi bukan Islam, itu satu kesilapan. Islam jika ditonjolkan secara adil dan bijaksana ia akan menarik hati semua pihak. Masyarakat ingin melihat nilai akhlak dan budi yang baik. Dalam soal Islam, UMNO mestilah bebas dari unsur kemelayuan, kerana Islam agama sejagat. Jika Islam yang universal itu ditonjolkan, bukan sahaja boleh memikat perasaan mereka, bahkan mungkin menjadi dakwah untuk mengajak mereka kepada Islam.

Mungkin ada yang menganggap mustahil hal ini boleh berlaku dalam UMNO. Walaupun saya secara peribadi bukan ahli UMNO, namun pernah cuba membaiki dan menguatkan pegangan Islam dalam Kerajaan UMNO Perlis ketika saya menjadi Mufti Perlis. Alhamdulillah, saya melihat ada kesannya yang bukan sedikit.

Ramai pemimpin ketika itu yang menjadi peminat pengajian ilmu sehingga program-program wakil rakyat dipenuhi dengan pengisian ilmu. Lantas, perjalanan kerajaan pun ditekankan soal penghayatan Islam. Orang kampong keluar berduyun-duyun tanpa dipaksa apabila saya dan kepimpinan kerajaan pergi ke masjid-masjid atau majlis untuk berucap. Hubungan hati antara kerajaan dan rakyat menguasai suasana.

Maka, kesan tidak langsung ketika itu rakyat tidak membuang UMNO di Perlis, walaupun disingkirkan di Kedah yang bersebelahan dengannya. Namun, bukanlah agenda saya untuk memenangkan UMNO dalam pilihanraya, tapi agenda saya ialah dakwah. Saya inginkan Islam itu subur dalam semua organisasi termasuklah UMNO.

Dakwah ini merentasi sempadan parti dan organisasi. Justeru itulah saya menasihati UMNO. Nabi s.a.w pernah menghantar surat Hercules berbunyi:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad Pesuruh Allah kepada Hercules Pembesar Rom, salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk. Seterusnya, aku menyeru kamu dengan seruan Islam, terimalah Islam nescaya kamu selamat. Allah akan memberikan kamu dua ganjaran. Jika kamu enggan, kamu menanggung dosa rakyat bawahanmu..(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Menjejaki sunnah itu, maka saya katakan kepada UMNO, lakukan proses islamisasi politik secara bersungguh-sungguh, nescaya kamu selamat!

Tuesday, November 24, 2009

BILAKAN BERAKHIR ISU HUKUM HUDUD DI TANAHAIRKU


Selagi undang-undang negara belum "SYARIAH COMPLIANT" atau menepati syariah, selagi itu Hukum Hudud akan menjadi isu yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas, EVERGREEN.

"Apakah Hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik dari Hukum ALlah bagi orang-orang yang yakin? " (AlQuran 5:50)

" Dan janganlah kamu mencampuradukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui" (Al Quran 2: 42)

"...apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan ....." (Al Quran 2:85)

"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya.." (AlQuran 2:208)

" Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak patut pula bagi perempuan yang beriman apabila ALlah dan RasulNya telah menetapkan sesuatu ketetapan akan ada pilihan yang lain tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai ALlah dan RasulNya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata." (Al Quran 33:36)

"Maka demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka suatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya." (Al Quran 4:65)

"...Dan barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan ALlah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir,...........................orang-orang zalim, .............orang-orang fasik" (Al Quran 5:44,45 dan 47)

Hudud bukan tanggungjawab PAS sahaja, Umno halang hukum Allah

Peguam Mohamed Hanipa Maidin
LL.B ( Hons ) UIA DAN LL.B ( Sha) ( Hons )
Exco Dewan Pemuda Pas Pusat/ ahli jawatankuasa PAS Pusat
Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS

"Umno jangan terus mengeluarkan kata-kata bodoh dalam isu hudud ini. Ini kerana kamu bercakap tentang hukum Islam." Hanipa memberi amaran.

"Saya optimistik DAP yang mempunyai ramai para intelektual boleh menerima hudud satu hari nanti kerana isu hudud bukan sahaja boleh dipertahankan dari sudut agama malahan juga menurut perspektif intelektual" menurut Mohamed Hanipa lagi.

Agensi berita melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika PAS mahu melaksanakan hukum hudud di negara in.

"Kalau hajat mereka begitu, saya doakan supaya hajat mereka itu tercapai tetapi hakikat politik tidak begitu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia dan Pelancaran Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa pada Sabtu lepas bahawa parti itu akan tetap melaksanakan hukum hudud di seluruh negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah pada masa depan.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid pula berkata kenyataan Husam itu adalah "satu cerita politik" semata-mata kerana jikna PAS benar benar mahu melaksanakan, ia pasti sudah lama dikuatkuasa di Kelantan.

Saya percaya para pembaca boleh melihat kontradiksi ucapan kedua-dua pemimpim Umno tersebut. Mahadzir Khalid kata hudud boleh dilaksanakan di Kelantan, Zahid Hamidi pula mengatakan hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa pindaan Perlembagaan.

Kenyataan kedua-dua pemimpin Umno di atas adalah refleksi wajah sebenar Umno ketika berpolitik. Bagi pemimpin Umno peribadi seorang ahli politik dan peribadi seorang Islam adalah berbeza. Sebagai seorang Islam, ia boleh menerima hudud sebagai hukum Allah tetapi sebagai ahli politik ia sukar atau tidak boleh menerima bahawa hukum hudud wajib dilaksanakan. Bagi Umno perbezaan sikap antara orang Islam dan orang politik tidak menjadi satu masalah.

Atas dasar itulah setiap kali isu hudud timbul, Umno meletakkan beban perlaksanaan hukum Allah tersebut hanya kepada PAS seolah-olah PAS sahaja yang diamanahkan melaksanakan perintah Allah tersebut. Hudud adalah perintah Allah dan yang demikian sesiapa sahaja yang mengaku dirinya sebagai orang Islam ia bukan sahaja wajib beriman dengan perintah Allah tersebut tetapi juga mesti berusaha melaksanakan hukum tersebut . Mana-mana orang Islam sama ada di dalam Umno, PAS , Keadilan, NGO atau apa-apa pertubuhan sekalipun wajib berusaha melaksanakan hukum hudud tersebut . Perlaksanaan hukum hudud bukan milik eksklusif orang-orang PAS sahaja.

Umno benak tuduh PAS politikkan isu Hudud

Jika Umno tidak benak dan dapat memahami bahawa hudud adalah perintah Allah maka Umno tidak boleh, dalam apa keadaan sekalipun, menuduh PAS cuba mempolitikkan isu hudud ini sepertimana yang dikatakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid tersebut.

Bagi PAS, tiada satu dikotomi ( pemisahan ) antara orang Islam dan orang politik. Apabila pemimpin PAS bercakap tentang politik ia bercakap sebagai seorang pemimpin Islam dan apabila ia bercakap tentang Islam ia juga bercakap sebagai pemimpin politik. Kenapa begitu ? Kerana itulah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu Rasul bagi seluruh umat manusia termasuklah orang "orang PAS"dan "orang Umno".

Oleh itu sama ada PAS berjuang bersendirian atau bersama Pakatan Rakyat , PAS tidak akan sama sekali meninggalkan matlamat perjuangannya untuk menegakkkan Islam yang syumul yang merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk hukum hudud.

Tetapi dalam masa yang sama PAS juga amat maklum di atas kejahilan majoriti rakyat negara ini tentang hukum hudud tersebut dan batasan serta halangan perundangan, perlaksanaan hukum hudud mungkin tidak dapat disegerakan perlaksanaannya meskipun diandaikan Pakatan Rakyat dapat memerintah negara ini. Atas dasar itu hasrat melaksanakan hudud tidak pernah menjadi penghalang kepada Pas untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak yang menuntut keadilan dan menentang kezaliman.

PAS maklum DAP masih belum menerima hasrat perlaksanaaan hudud di negara ini. Penentangan DAP bagi PAS bukan perkara yang pelik. Jika Umno yang bermajoritikan orang Islam juga menentang hasrat PAS untuk melaksanakan hudud apalah yang nak dihairankan DAP yang bermajoritikan orang bukan Islam juga menentang hudud. Apabila Kelantan dan Trengganu ( ketika diperintah oleh PAS ) ingin melaksanakan hudud , siapa yang mencabarnya di Mahkamah ? DAP atau Umno ?

Saya optimistik DAP yang mempunyai ramai para intelektual boleh menerima hudud satu hari nanti kerana isu hudud bukan sahaja boleh dipertahankan dari sudut agama malahan juga menurut perspektif intelektual. Melihat sokongan yang makin meningkat ke atas kelab penyokong PAS dari kalangan orang bukan Islam, DAP kini tidak boleh menyatakan hudud ditentang oleh semua orang bukan Islam.

Sepertimana yang saya katakan perlaksanaan hukum hudud bukan milik eksklusif PAS. Ia adalah tanggungjawab bersama baik Umno atau orang-orang Islam yang lain . Meskipun Umno menuduh PAS hanya berpolitik di dalam isu hudud , siapa yang boleh menidakkan kesungguhan PAS untuk cuba melaksanakan hukum Allah tersebut. Bukankah PAS yang telah bersungguh-sungguh menggubal enakmen hudud di Kelantan dan Trengganu ( semasa Pas memerintah ) .

Apa yang lebih menarik sebelum Kerajaan PAS Trengganu mengemukakan enakmen hudud di DUN Trengganu , PAS telah mengadakan seminar dan memanggil semua pihak termasukah Umno untuk memberikan pandangan dan kritikan mereka terhadap Enakmen yang ingin dibentangkan tersebut. Setahu saya ini tidak pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara. Hal ini juga saya nyatakan kepada salah seorang Ahli Parlimen di London yang bertanyakan saya tentang enakmen tersebut ketika saya melawat Parlimen England bersama Y.B Salahudin Ayub suatu masa dahulu.

Umno halang hukum Allah

Jika PAS berusaha bersungguh-sungguh cuba melaksanakan hukum hudud semasa memerintah Kelantan dan Trengganu, Umno juga tidak ketinggalan bersungguh-sungguh cuba menghalang perlaksanaan hukum Allah tersebut. Tidak cukup pemimpin Nombor 1 UMNO ( pada masa itu ) menulis surat amaran kepada Kerajaan Kelantan agar tidak melaksanakan hukum hudud ada juga pemimpin UMNO yang sanggup mencabar undang-undang hudud tersebut di Mahkamah. Malahan yang lebih teruk sekali pemimpin UMNO sanggup melabelkan hukum Alllah tersebut sebagai hukum hudud PAS.

Jika PAS boleh menyokong Bank Islam, Takaful , Universiti Islam mengapakah Umno amat sukar menerima hudud hanya kerana ianya digubal oleh Kerajaan PAS. Mengapa Umno tidak boleh sama sekali memberi ruang kepada PAS dalam isu hudud ini. Jika Perlembagaan menjadi penghalang sepertimana yang dikatakan oleh Zahid Hamidi mengapa selama ini Umno tidak bersedia memindanya bagi membolehkan PAS melaksanakan hudud di Kelantan.

Paling minima yang Umno lakukan adalah jangan terus mengeluarkan kata-kata bodoh dalam isu hudud ini. Ini kerana kamu bercakap tentang hukum Islam. Dalam perkara yang bukan agama jika kamu salah bercakap, kamu hanya membuat kesilapan dan kesilapan tersebut tidak akan menjejaskan aqidah kamu.

Sebaliknya isu agama lain. Jika salah bercakap sila-silap akan tergelincir aqidah. Atas dasar itu dalam isu hudud diamnya para pemimpin Umno lebih baik daripada mereka bercakap. Ini kerana jika mereka diam kita mungkin rasa mereka jahil dalam isu hudud ini sebaliknya jika mereka bercakap barulah kita sedar memang confirmlah mereka ini memang jahil.

Kelab Penyokong yakin PAS menang, faham isu Hudud

Petikan Dari Harakahdaily


Kelab Penyokong PAS akan mengadakan gerak gempur besar-besaran bagi memastikan pengundi Cina dan India memberi undian pukal kepada calon yang dipilih dan sekaligus memberi kemenangan kepada calon PAS nanti.

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kebangsaan, Hu Pang Chaw berkata semua ahli kelab dari seluruh negara akan turun memberi sokongan dihari penamaan calon dan ketika berkempen kelak.

"Kelab Penyokong PAS Cawangan Terengganu telah pun menyediakan satu bilik gerakan di DUN Bandar bagi dijadikan markas gerakan kita.

"Kita pilih DUN Bandar kerana kawasan tersebut merupakan kawasan paling ramai masyarakat bukan melayu iaitu 37 peratus pengundi Cina dan 1.14 peratus India dan lain-lain bangsa.

"Dan kita yakin Dun Bandar akan dapat kita tawan kerana MCA dan Umno semakin lemah dan pengundi juga lebih yakin kerana Pakatan Rakyat telah berjaya lima negeri. Ini akan memberi keyakinan kepada pengundi bukan melayu untuk memilih pakatan kali ini. kata Hu yang dipetik daripada Suara KeADILan online.

Menurut Hu, walaupun DUN Bandar mempunyai 18,952 pengundi berdaftar dari jumlah keseluruhan 80,229 pengundi namun DUN Bandar merupakan undi penentu kepada calun kerajaan maupun pakatan Rakyat.

Katanya, masa pilihan raya 8 Mac lalu, pengundi Cina dan India masih rasa takut-takut untuk menyokong pembangkang kerana Pakatan Rakyat yang diwakili PAS, DAP dan KeADILan belum lagi terbentuk secara sah.

"Sekarang dari tinjauan rambang dan melihat kejayaan di Permatang Pauh pada Ogos lalu kita dah dapat "lampu hijau" berhubung sokongan padu masyarakat bukan melayu pada Pakatan," Ujar Hu lagi.

Menyentuh isu hudud yang sedang dimainkan oleh media milik kerajaan sekarang Hu berkata isu tersebut tidak menjadi persoalan besar kepada masyarakat bukan melayu di Pantai Timur kerana masing-masing telah diberi kefahaman tentang persoalan hudud.

"Kita memang sedar bahawa isu hudud merupakan isu yang akan dimainkan kerajaan untuk mengabui mata pengundi bukan melayu ketika kempen yang akan berlangsung tahun depan.

"Kami dikalangan orang bukan melayu di pantai timur ni baik di Kelantan atau di Terengganu memang dah faham apa itu hukum hudud kerana Hudud hanya untuk orang Islam sahaja dan orang bukan Islam tidak terikat dengan hukum tersebut.

"Orang bukan melayu di Pantai Barat mungkin tidak berapa faham kerana telah diputarbelit oleh media kerajaan yang sengaja ditakut-takutkan dengan hukum rejam dan potong tangan. Walhal hudud bukan begitu," ujar Hu.

Sehubungan itu menurut Hu lagi, menerusi kempen yang akan dijalankan nanti isu memperbanyakkan suara pembangkang di parlimen bagi memantau pelbagai penyelewengan kerajaan antara akan dijadikan fokas kempen kepada bukan melayu nanti.

Selain itu menurut Hu, kempen juga bertujuan memberi kesedaran kepada pengundi supaya memilih wakil Pakatan bertujuan memantau segala wang rakyat dan wang royalti yang baru diterima supaya tidak disalah guna oleh kerajaan negeri.

"selain itu isu harga minyak dan barang yang masih tinggi serta agihan wang royalti yang tidak membantu meningkatkan taraf hidup rakyat juga antara isu yang mampu meraih sokongan masyarakat bukan melayu di negeri itu," kata Hu.Read More “AHLI KELAB PENYOKONG PAS LEBIH FAHAM HUDUD DARI SESETENGAH AHLI UMNO” »»